Oleh: Muhammad Hafiz Bin Sulaiman
Satu kajian soal selidik di kalangan pelajar sekolah rendah telah dijalankan di Sekolah Kebangsaan Nibong, Hulu Terengganu pada 2 Mac 2016 (Rabu). Kajian ini telah berlangsung selama 1 jam, bermula pada jam 10.45 pagi dan berakhir pada 11.45 pagi. Kajian soal selidik ini pelajar yang terdiri daripada pelajar Tahun 4, 5 dan 6. Kajian ini telah dijalankan oleh lima orang penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT); Dr. Chong Ju Lian, Saw Wei Ling, Nor Diyana Tajariffin, Nur Atikah Abd Rashid dan Muhammad Hafiz Sulaiman.
Kajian soal selidik ini dijalankan sebagai kesinambungan kepada kajian terdahulu yang tertumpu kepada penduduk kampung atau orang dewasa. Namun, bagi melengkapkan penyelidikan yang telah dijalankan, adalah penting untuk mendapat maklumat tahap kesedaran tenggiling di kalangan generasi akan datang iaitu pelajar. Matlamat kajian soal selidik ini adalah untuk mendapatkan gambaran sejauh mana pengetahuan para pelajar mengenai tenggiling dan setinggi mana tahap kesedaran mereka untuk pemuliharaan tenggiling. Penyelidikan ini akan diteruskan di beberapa sekolah rendah dan menengah yang terpilih di kawasan Geotaman Kenyir.