IBTPL | Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari

Universiti Malaysia Terengganu

Ekspedisi Saintifik Tasik Kenyir Ke-2

Ekspedisi Saintifik Tasik Kenyir Ke-2

Ekspedisi Saintifik Tasik Kenyir Ke-2

Ekspedisi Saintifik di Tasik Kenyir kali ke-2 telah dijalankan daripada 2-5 September 2014. Pada kali ini, kawasan kajian difokuskan di tapak perkhemahan Gua Bewah yang mana terletak beberapa kilometer daripada Tanjong Mentong. Sejumlah 43 penyelidik menyertai ekspedisi ini termasuklah penyelidik daripada UMT, UPM, UKM, UNIMAS dan Jabatan Perhutanan Kuala Terengganu. Beberapa skop penyelidikan menjadi perhatian semasa ekspidisi seperti tinjauan flora dan fauna, kualiti air dan udara, parasit ikan dan serangga akuatik.

Kajian parasit ikan sebagai bioindikator daripada Tanjong Mentong semasa Ekspidisi Saintifik pertama telah diteruskan di Gua Bewah. Bagi tujuan ini, parasit yang menjangkiti Toman dan Lampam telah diambil untuk dikenalpasti dan untuk tujuan analisis bioakumulasi logam. Kajian ini telah diketuai Pengarah Institut Penyelidikan Kenyir (IPK), Prof. Emeritus Faizah Bt Sharoum dengan dibantu oleh pelajar PhD dan M.Sc. beliau. Selain kajian parasit ikan, Prof. Faizah juga mengetuai kajian kultur mutiara air tawar di Tasik Kenyir. Bagi tujuan berkenaan, beberapa kepah air tawar telah diambil oleh pelajar M.Sc. beliau sebelum proses pengkulturan dijalankan.

Tinjauan kepelbagaian flora telah diketuai oleh En. Salleh B. Endot dan dibantu oleh tujuh pegawai daripada Jabatan Perhutanan Kuala Terengganu. Objektif kajian adalah untuk menghasilkan senarai semak awal tumbuhan herba dan vaskular yang tumbuh di sekitar Gua Bewah.

Sementara itu, tinjauan mamalia kecil atau lebih tepat lagi kelawar, jaman, tupai, tikus dan lain-lain telah diketuai oleh Prof. Mohd Tajuddin B. Abdullah (Pengarah Pusat Ekosistem Kenyir-PEK). Tinjauan telah dibantu oleh seorang pelajar PhD dan tiga orang pelajar prasiswazah daripada UNIMAS. Sejumlah 100 perangkap sangkar, dua perangkap harp dan 20 jaring kabut telah digunakan untuk menangkap haiwan berkenaan.

Bagi tinjauan avifauna, kajian telah dijalankan oleh En. Muhammad Hafiz B. Sulaiman (Pegawai Penyelidik IPK) dan En Mazrul Aswady B. Mamat (Pembantu Makmal UMT). Sejumlah 20 jaring kabut telah dipasang sepanjang denai di kawasan perkhemahan Gua Bewah untuk memerangkap burung. Selain tinjauan burung, En. Hafiz yang mewakili Dr. Chong Ju Lian (Pensyarah PPSMS) menjalankan tinjauan kupu-kupu, kupu-kupu penebuk buah dan rama-rama pemakan buah, dan diversiti lelabah dengan bantuan dua pelajar pascasiswazah. Satu perangkap cahaya dan 10 buah perangkap Van Someren-Rydon yang telah diubahsuai telah digunakan untuk persampelan kupu-kupu dan, kupu-kupu penebuk buah dan rama-rama pemakan buah masing-masing. Tinjauan lelabah pula hanya dilakukan di dalam Gua Bewah dan spesimen ditangkap menggunakan jaring sapu dan menggunakan tangan.

Dr. Rozhan Bin Zakaria, penyelidik daripada UPM telah mengetuai kumpulan penyelidikan beliau semasa kajian kualiti air di Tasik Kenyir. Kualiti air bukan sahaja ditentukan melalui parameter fizikal, tetapi juga melibatkan koleksi kepelbagaian zooplankton dan fitoplankton yang bertindak sebagai bioindikator. Selain daripada kualiti air, kualiti udara juga telah diselia. Kajian telah diketuai oleh Dr. Noor Zaitun Bt. Yahaya dan dibantu oleh tiga orang pelajar M.Sc. daripada UMT.

Share the Post:

Related Posts

Kem Scienceploration 2018

Kem Scienceploration 2018 merupakan anjuran ke-3 Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) untuk mendedahkan dan menarik minat pelajar serta golongan belia di

Read More