Program Penerangan Misi Geopark Kenyir kepada komuniti sekitar Tasik Kenyir (fasa 2) di bawah pengerusi Program Komuniti Pinggir Tasik, Pusat Pembangunan Sosioekonomi (CSD), Institut Penyelidikan Kenyir (IPK), dengan kerjasama Pejabat Daerah Hulu Terengganu telah diadakan pada 30 dan 31 Mei 2014.
Tujuan utama program ini adalah untuk menerangkan misi Geopark Kenyir kepada komuniti di Tasik Kenyir. Tujuan lain program ini adalah untuk mendapatkan gambaran kasar berkaitan sejarah, profil penduduk dan pembangunan sosioekonomi komuniti di kawasan Tasik Kenyir. Objektif program ini pula adalah untuk menyampaikan maklumat berkaitan penubuhan Geopark di Tasik Kenyir kepada agensi, pemimpin tempatan dan komuniti setempat, mendapatkan maklumat sejarah, profil penduduk dan pembangunan sosioekonomi di kawasan tasik serta mewujudkan hubungan silaturrahim dalam kalangan masyarakat yang terlibat.
Program ini meliputi kira-kira 36 buah komuniti dan dihadiri oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah Hulu Terengganu, wakil Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Terengganu, Jawatankuasa Kemajuan Kampung,pensyarah, staf dan pelajar UMT. Program ini memberi tumpuan kepada sesi taklimat penerangan misi Geopark Kenyir kepada komuniti setempat yang mendedahkan kepada komuniti berkenaan penubuhan Geopark Kenyir dan bagi mendapatkan maklumat berkenaan potensi kampung supaya komuniti dapat bersedia dari awal sebelum Geopark Kenyir ditubuhkan.
Pelaksanaan program ini adalah diharapkan dapat memberi pemahaman dan maklumat kepada komuniti Tasik Kenyir berkenaan penubuhan Geopark Kenyir supaya komuniti lebih bersedia dan menerima perubahan yang bakal berlaku di kampung-kampung sekitar Tasik Kenyir. Ekoran itu, komuniti dapat merangka sebarang program atau projek pembangunan ke arah yang lebih terancang bagi membangunkan potensi di kampung-kampung yang terlibat. Secara ringkasnya, program ini berkesan dalam memberi pemahaman kepada komuniti Tasik Kenyir berhubung dengan misi penubuhan Geopark di Tasik Kenyir.