Pada 13 Januari 2015 bersamaan 22 Rabiulawal 1432 H, telah diadakan satu mesyuarat mengenai Pembentangan Pemantapan Penyelidikan Jangka Pendek dan Perbincangan Penyelidikan Jangka Panjang Giant Panda yang bertempat di Bilik Mesyuarat Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Program selama sehari tersebut telah diketuai oleh Professor Dato’ Dr. Mohd. Tajuddin, Pengarah Pusat Ekosistem Kenyir, Institut Penyelidikan Kenyir UMT selaku Focal Point Penyelidikan Giant Panda. Antara peserta yang terlibat dalam pembentangan ini ialah wakil daripada Zoo Negara, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Malam sebelum tarikh agenda utama dijalankan, para peserta pembentangan dibawa untuk menjamu makan malam di Restoran Seafood Seberang Takir, Kuala Terengganu. Turut hadir ke jamuan makan malam tersebut adalah Professor Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo, Naib Canselor UMT, Professor Dr. Mohd. Effendy Abd. Wahid, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Professor Dr. Zulfigar, Dekan INOS dan Professor Emeritus Dr. Faizah Mohd Sharoum, Pengarah Institut Penyelidikan Kenyir.
Program Giant Panda ini telah dipengerusikan oleh Professor Dr. Mohd. Effendy Abd. Wahid dan beliau telah memberikan kata-kata aluan selaku mewakili Naib Canselor dan mengalu-alukan kedatangan para peserta yang mewakili Zoo Negara dan universiti tanah air yang terkemuka ke UMT. Turut diundang, Professor Emeritus Dr. Faizah Mohd Sharoum, Pn. Nor Amalina Elias, Penolong Pendaftar RMC, En. Mohd Syahrunizan Abdul Rashid, Penolong Pendaftar Institut Penyelidikan Kenyir dan pegawai-pegawai dari Institut Penyelidikan Kenyir.
Agenda utama program ini adalah untuk memaklumkan pembentangan dan pemantapan penyelidikan jangka pendek oleh setiap peserta pada sesi pagi. Antara initipati program tersebut adalah penyelidikan terhadap genetik konservasi, penyakit dan pengurusan penjagaan, pemakanan serta bioinfomatik. Sebelum berehat pada tengah hari, para peserta dibawa ke Hatcheri Akuatrop dan mengelilingi kampus dengan menggunakan kenderaan rasmi UMT. Perbincangan penyelidikan jangka panjang telah diteruskan pada sesi petang hari yang sama dan membincangkan cadangan penyelidikan untuk jangka masa yang panjang.
Pada keesokan harinya, para peserta dibawa ke tempat-tempat yang menarik di sekitar Kuala Terengganu seperti Taman Tamadun Islam (TTDI), Masjid Kristal, Kedai Losong Jalan Tok Beng dan Pasar Payang sekali gus mempromosikan sektor pelancongan Negeri Darul Iman ini. Alhamdulillah, program ini berjalan dengan lancar dan sekalung penghargaan kepada pihak pentadbiran UMT terutamanya Professor Dato’ Naib Canselor dan Dekan RMC atas kebenaran dan lain-lain perkhidmatan yang diberikan untuk menjayakan program pembentangan Giant Panda di UMT.
[Disediakan oleh: Muhammad Aidil bin Zahidin]