Kabin Stesen Penyelidikan Kenyir telah digunakan buat kali pertama bermula pada hari Isnin, 24 Ogos 2015; yang menjadi tempat kemudahan operasi bagi menjalankan kerja lapangan (berkaitan biodiversiti) untuk 17 orang pelajar di sekitar Tasik Kenyir. Pelajar tersebut adalah terdiri daripada 8 orang pelajar pasca siswazah di bawah seliaan Prof. Dato’ Mohd. Tajuddin bin Abdullah bersama 4 orang pelajar praktikal (latihan industri) dan 5 orang pelajar tahun akhir Sarjana Muda Sains Gunaan (Pemuliharaan dan Pengurusan Biodiversiti).
Jalan untuk masuk ke kawasan kabin masih belum dibaiki akibat banjir sebelum ini dan hanya boleh dimasuki dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda. Aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan dan tandas kabin telah dijalankan setelah diadakan sedikit sesi taklimat. Pelajar memulakan aktiviti kerja lapangan dan penyelidikan selepas waktu tengah hari. Buat masa ini, bekalan elektrik untuk kabin dijana dengan bantuan generator yang dibawa. Air (boring) juga telah dipam dengan bantuan generator untuk memenuhkan kedua-dua tangki air di kabin bagi kegunaan pelajar. Kerja lapangan ini dijangkakan berakhir pada 29 Ogos 2015.