Oleh: Muhammad Hafiz Sulaiman
‘Pangolin’ atau nama tempatannya Tenggiling adalah haiwan seakan armadillo. Sifat luarannya lebih kepada reptilia berbanding mamalia kerana terdapat sisik yang meliputi hampir keseluruhan badannya. Di seluruh dunia, terdapat hanya lapan spesies tenggiling yang masih ada di dua benua iaitu Afrika dan Asia. Di Malaysia, hanya Tenggiling Malaya (Manis javanica) yang dijumpai. Pada masa ini, haiwan-haiwan unik ini didagangkan secara haram di pasaran gelap dalam jumlah yang besar. Sejak 2008, spesies ini telah diklasifikasikan sebagai terancam dan hanya mengambil masa selama 6 tahun untuk bertukar status kepada sangat terancam pada 2014. Di sebalik masa depan suram mereka, haiwan ini masih kurang mendapat perhatian dan masih banyak aspek menunggu untuk diperolehi. Berikut adalah petikan dari ucapan Dan Challender (Penyelidik Tenggiling dan Pengerusi Bersama IUCN SSC Pangolin Specialist Group):
“Walaupun berpuluh-puluh ribu tenggiling yang diniagakan secara haram disita setiap tahun, beberapa masalah terbesar yang dihadapi penggiat pemuliharaan ialah kekurangan data mengenai perdagangan haram ini, laluannya, sumber, dan juga tentang haiwan itu sendiri”.
Oleh itu, kajian ini telah dijalankan. Responden kaji selidik ini adalah penduduk kampung dari Geopark Tasik Kenyir yang dicadangkan dan telah ditemuramah mengenai aspek ekologi Tenggiling Malaya, perundangan dan usaha-usaha pemuliharaan. Para penyelidik yang terlibat adalah Dr. Chong Ju Lian, Nor Faridah bt Mohd Shafie dan Muhammad Hafiz bin Sulaiman.