Program Penyelidikan Komuniti Pesisiran di bawah Pusat Pembangunan Sosioekonomi (CSD), Institut Penyelidikan Kenyir telah mengadakan satu Program Bual Bicara Bersama Komuniti Pesisiran pada 25 Ogos 2014 yang lepas di Dewan Pejabat Penyelaras UMNO, DUN Seberang Takir . Program ini telah mendapat sambutan yang baik daripada kalangan komuniti yang hadir iaitu seramai 113 orang peserta yang terdiri daripada nelayan, isteri-isteri, anak-anak nelayan dan juga penduduk pesisiran. Program ini turut dihadiri oleh Pengarah Institut Penyelidikan Kenyir, Universiti Malaysia Terengganu Prof. Emeritus Faizah Mohd Sharoum dan dirasmikan oleh En. Mohammad bin Yusof, Wakil Pegawai Khas kepada Y.A.B Menteri Besar Terengganu.
Objektif utama program ini adalah sebagai sesi suai kenal di antara pihak universiti dan komuniti pesisiran yang terlibat. Di samping itu, program ini dapat memberi pendedahan mengenai kesedaran diri bagi meningkatkan mutu dan kualiti hidup komuniti pesisiran. Pengerusi Program Penyelidikan Komuniti Pesisiran telah membawa perubahan baru dalam program ini kerana menekankan aspek perubahan dalaman diri peserta terlebih dahulu sebelum memulakan projek penjanaan pintar dan keusahawan yang lain.