Oleh: Muhammad Hafiz Bin Sulaiman
Satu kajian soal selidik di kalangan pelajar sekolah menengah telah dijalankan di Sekolah Menengah Kebangsaan Matang, Hulu Terengganu pada 18 April 2016 (Isnin). Kajian ini telah berlangsung selama 1 jam, bermula pada jam 10.30 pagi dan berakhir pada 11.30 pagi. Kajian soal selidik ini melibatkan pelajar yang terdiri daripada pelajar Tingkatan 4 sahaja. Kajian ini telah dijalankan oleh empat orang penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT); Dr. Chong Ju Lian, Saw Wei Ling, Nor Diyana Tajariffin dan Muhammad Hafiz Sulaiman.
Kajian soal selidik ini dijalankan sebagai kesinambungan kepada kajian terdahulu yang tertumpu kepada penduduk kampung atau orang dewasa. Namun, bagi melengkapkan penyelidikan yang telah dijalankan, adalah penting untuk mendapat maklumat tahap kesedaran tenggiling di kalangan generasi akan datang iaitu pelajar. Matlamat kajian soal selidik ini adalah untuk mendapatkan gambaran sejauh mana pengetahuan para pelajar mengenai tenggiling dan setinggi mana tahap kesedaran mereka untuk pemuliharaan tenggiling. Penyelidikan ini akan diteruskan di beberapa sekolah rendah dan menengah yang terpilih di kawasan Geotaman Kenyir.






