IBTPL | Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari

Universiti Malaysia Terengganu

Kajian Lapangan di Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, Hulu Terengganu

Kajian Lapangan di Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, Hulu Terengganu

Kajian Lapangan di Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, Hulu Terengganu

Satu kajian lapangan mamalia kecil telah diadakan pada 09 hingga 13 Febuari 2015 yang bertempat di Pusat Konservasi Gajah Sg. Deka, Hulu Terengganu, Terengganu. Kajian lapangan ini yang disertai oleh tiga orang lelaki dan dua orang perempuan daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang bertujuan untuk mengumpul data-data mamalia kecil di sekitar kawasan pusat konservasi ini. Kajian ini juga bertujuan untuk menyampel data mamalia kecil di bahagian kanopi. Hal ini kerana, banyak kajian telah dijalankan di bahagian hutan lantai kerana mudah dalam pemasangan pelbagai perangkap yang bersesuaian. Oleh itu, kajian ini berhasrat untuk mengenalpasti spesis mamalia kecil yang manakah yang boleh didapati di bahagian atas pokok selain di hutan lantai.

Sebagai makluman, mamalia kecil adalah spesis mamalia yang bersaiz kecil, berdarah panas dan mempunyai berat badan kurang daripada 1 kg. Kelawar adalah salah satu mamalia kecil dan mempunyai kelebihan untuk terbang. Berbeza dengan tupai terbang, spesis tupai tidak terbang, sebaliknya meluncur dari satu puncak pokok yang tinggi ke pokok yang lain. Kelawar terdiri kepada dua jenis iaitu kelawar pemakan buah dan kelawar pemakan serangga. Perbezaan diantara kedua-dua jenis kelawar ini adalah, kelawar pemakan buah mempunyai mulut yang panjang dan bentuk muka yang menyerupai seperti muka anjing. Manakala kelawar pemakan serangga mempunyai bentuk mulut yang leper dan pendek.

Secara amnya, sebanyak lapan jaring kabut (mist net) dan empat poket perangkap (harp trap) telah digunakan sepanjang kajian lapangan ini dijalankan. Pemasangan jaring dan perangkap dibuat pada setiap bahagian kanopi berdasarkan ketinggian yang diaturkan oleh Abdullah dan Hall (1997). Semua perangkap dipasang dengan menggunakan bantuan perancah besi (scaffolding) dan tangga bomba.

Hasil kajian lapangan ini menunjukkan sebanyak 21 ekor kelawar telah berjaya ditangkap yang terdiri daripada 4 spesis daripada 4 jenis keluarga (Lampiran 1). Spesis Myotis ridleyi merupakan spesis yang paling banyak ditangkap dengan jumlah sebanyak 15 individu (71.43%), diikuti dengan Cynopterus brachyotis (3 individu, 14.29%), Hipposideros diadema (2 individu, 9.52%) dan Megaderma spasma (1 individu, 4.76%).

M. ridleyi paling banyak direkodkan di dalam kawasan pusat konservasi pada setiap hari di dalam pembentungan air. Pada pandangan kami, pembentungan air merupakan tempat laluan spesis ini beterbangan memburu serangga. Di kawasan ini juga, kami berjaya merekodkan 2 individu C. brachyotis yang tersangkut di jaring kabut. 2 individu H. diadema telah kami rekodkan di hutan bukit berhampiran dengan tapak pembinaan bangunan baru. Sebanyak 1 individu M. spasma dan C. brachyotis telah direkodkan di viaduct II. M. spasma merupakan salah satu spesis yang jarang dijumpai di Semenanjung Malaysia, manakala spesis C. brachyotis merupakan spesis yang sering direkodkan serta boleh dijumpai di seluruh semenanjung.

Sepanjang kajian lapangan ini dijalankan, kami telah melihat beberapa spesis tupai dan burung yang terdapat di sekitar kawasan konservasi ini. Antaranya ialah tupai terbang (flying squirrel), tupai tanah, burung walit dan burung merbah.

Kesimpulannya, kepelbagaian spesis kelawar di pusat konservasi ini sangat rendah pada pandangan kami. Hal ini kerana, persekitaran di pusat konservasi ini adalah terganggu dengan kerancakan pembangunan dan pembinaan bangunan pejabat, kediaman serta kandang gajah yang baru. Tambahan pula, hutan sekunder mendominasi persekitaran asal kawasan ini dan kekurangan pokok buah. Oleh itu, perancangan yang rapi amat penting demi menjaga ekosistem hutan agar tidak ditebang dengan tanpa had.

Penghargaan: Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada UMT kerana memberi kelulusan dan kemudahan pengangkutan untuk kerja lapangan kelawar di Pusat Konservasi Gajah Sg Deka, Hulu Terengganu, Terengganu. Terima kasih juga kepada pentadbiran Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Terengganu kerana memberi kebenaran masuk dan membuat kajian lapangan di Sg Deka. Tidak lupa juga, sekalung penghargaan dan terima kasih kepada pegawai dan staf-staf di Unit Pusat Konservasi Gajah Sg. Deka, Hulu Terengganu; En. Ahmad Kamsul Alias, En. Roziki Abd. Latif, En. Sairi Mohd dan En. Radzi Adnan kerana memberi kemudahan tempat tinggal, kerja lapangan dan perkhidmatan yang cemerlang semasa kami menjalankan kerja lapangan ini. Kajian lapangan ini adalah dibawah peruntukan Geran Galakan Penyelidikan UMT (GGP UMT: 68007/2014/127) yang diberikan kepada Profesor Dato’ Dr. Mohd Tajuddin Abdullah.

Rujukan:
Abdullah, M.T. dan Hall, (1997). Abundance and distribution of fruit bats and other mammals in the tropical forest canopy in Borneo. Sarawak Museum Journal, 72:63-74.

Disediakan oleh: Muhamad Aidil Zahidin

Share the Post:

Related Posts

Kem Scienceploration 2018

Kem Scienceploration 2018 merupakan anjuran ke-3 Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) untuk mendedahkan dan menarik minat pelajar serta golongan belia di

Read More