Kolokium Penjanaan Pendapatan Berorientasikan Kraftangan Komuniti Orang Asli Sungai Berua 2016 anjuran Bahagian Pembangunan Sosioekonomi, Institut Penyelidikan Kenyir (IPK) telah diadakan untuk berkongsi input dan maklumat berkaitan pembuatan kraftangan kepada komuniti Orang Asli dalam mengkomersialkan produk-produk mereka ke pasaran tempatan dan antarabangsa. Penganjuran program ini memberi maklumat kepada komuniti Orang Asli Kampung Sungai Berua, Hulu Terengganu bagi meningkatkan ilmu pengetahuan mereka dalam mencari peluang untuk mengkomersialkan produk mereka sekaligus untuk meningkatkan pendapatan mereka. Program ini telah dihadiri seramai 150 orang yang meliputi para pensyarah, pelajar-pelajar dalam kursus pelancongan, pelajar-pelajar UMT dan staf-staf UMT. Program ini melibatkan agensi dari Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan/Terengganu, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Cawangan Terengganu), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Terengganu dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Terengganu.
Program ini meliputi 2 sesi iaitu sesi pagi untuk program kolokium dan sesi petang iaitu sesi perbincangan libatsama agensi. Program ini telah dilaksanakan pada 18 Mei 2016 (Rabu) pada jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang di Auditorium Mahyuddin,UMT (Program Kolokium) dan Bilik Jaringan Komuniti (Perbincangan Libatsama Agensi). Program ini telah dirasmikan oleh Prof. Emeritus Dr. Faizah binti Mohd Sharoum, Pengarah IPK, UMT. Objektif program kolokium adalah untuk memberi pendedahan dalam meningkatkan mutu dan kualiti produk kraf tangan mengikut standard pasaran semasa, memberi pengetahuan dan kaedah memasarkan dan mengkomersialkan produk kraf tangan Orang Asli, memperkasakan kemahiran pembuatan kraftangan komuniti Orang Asli dan membina kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.
Disediakan oleh:
Bahagian Pembangunan Sosioekonomi, Institut Penyelidikan Kenyir (IPK), UMT